Bekas Pengarah BPR buka syarikat tawar khidmat penguji alat intipan,
imbasan syarikat dan individu serta pemeriksa poligraf
MENJALANKAN perniagaan dalam bidang yang jarang dipelopori orang
lain membuatkan penyiasat penipuan bertauliah dan pemeriksa poligraf
forensik, Akhbar Satar, 51, menjadi rebutan pelbagai pihak termasuk wanita
yang ingin mengetahui kegiatan ‘sulit’ suaminya.
Namun berpegang
kepada prinsip mesti bersifat jujur, sementelah pernah memegang jawatan
Pengarah Badan Pencegah Rasuah (BPR) Perlis dan Negeri Sembilan serta
bekas Pengarah Latihan BPR, membuatkan Akhbar terpaksa menolak permintaan
itu secara baik.
“Jika hendak mengaut keuntungan, mungkin saya sudah lakukannya tetapi
sebagai pakar pemeriksa poligraf bertauliah, melalui pelakuan dan juga
perbualan saja, saya sudah dapat membaca apa yang tersirat.
“Bagaimanapun, saya tidak suka menjadi orang tengah kerana ia
boleh mengeruhkan lagi suasana hubungan suami isteri. Lagipun, kerja
seperti itu tidak profesional,” kata lelaki kelahiran negeri Cik Siti Wan
Kembang ini.
Memiliki firma penyiasatan sendiri, Akhbar &
Associates yang terletak di Plaza Damas, Sri Hartamas, dekat sini
membuktikan lelaki pertengahan usia ini bijak mencatur langkah dengan
membuka perniagaan berlandaskan kepakaran yang dimiliki.

Selain khidmat menguji pembohongan, Akhbar & Associates juga
menawarkan perkhidmatan penyiasat persendirian berdaftar, imbasan syarikat
dan individu, siasatan latar belakang, khidmat penguji alat intipan (Bug
Sweep Detection Service) dan bertindak sebagai perunding anti penipuan.
Untuk menjadi seorang pemeriksa poligraf bukan mudah, sebab itu
sehingga kini hanya ada kira-kira 3,000 pemeriksa poligraf forensik
bertauliah di seluruh dunia.
Akhbar berkata, di negara ini hanya
ada dua pakar pemeriksa poligraf forensik yang menjadi ahli penuh American
Polygraph Association (APA) manakala 10 yang lain sebagai ahli berdaftar.
Akhbar adalah perintis bidang poligraf di negara ini dan mendapat latihan
di American Institute of Polygraph Technology and Forensic
Psychophysiology di Detroit, Amerika Syarikat.
“Untuk diiktiraf
sebagai pakar poligraf bertauliah, seseorang perlu lulus ujian APA. Di
seluruh dunia, hanya ada 20 sekolah yang menerima akreditasi dari APA.
“Setiap kursus mewajibkan pelajar mengikuti kelas teori selama lapan
minggu manakala dua minggu lagi diperuntukkan untuk mempraktikkan ilmu
yang diterima. Seperti sijil profesional yang lain, bayaran yang dikenakan
untuk menyertai kelas ini agak tinggi iaitu RM17,000,” katanya.
Sebanyak 13 sekolah yang menawarkan sijil untuk bidang poligraf
berada di Amerika Syarikat, Kanada (1), Israel (1), Mexico (1), Colombia
(1), Slovia (1) dan Malaysia (1).
Paling membanggakan, Polygraph
Science Academy - Akhbar & Associates milik Akhbar adalah satu-satunya
sekolah poligraf ditubuhkan di rantau Asia dan mendapat akreditasi APA.
Akhbar berkata, menjadi pemeriksa poligraf forensik tidak mudah
kerana seseorang itu mesti menjaga peribadi dan perilaku diri selain
mempunyai kelayakan akademik sekurang-kurangnya diploma, pernah melakukan
200 ujian poligraf dan menjadi ahli APA.
Bercerita mengenai
poligraf, Akhbar berkata, penggunaan poligraf yang sudah berusia lebih 70
tahun itu meluas sehingga ada negara yang menggunakannya dalam hampir
semua kes penipuan misalnya Singapura dan Taiwan.
Katanya, kini
kira-kira 80 negara menggunakan poligraf dan Singapura adalah antara
negara teratas menggunakannya, diikuti Israel manakala Amerika Syarikat
menjadi negara terawal yang menggunakan alat pengesan pembohongan itu.
Di Malaysia, teknik itu juga mula diguna pakai syarikat tertentu
dan berkepentingan ketika membuat pengambilan pekerja baru (pre employment
screening). Ia bertujuan untuk mengesan latar belakang individu selain
mengelak berlaku kerugian jika pekerja yang diambil tidak amanah.
“Misalnya beberapa tahun lalu sebuah syarikat pengeluar ubatan
berdepan kerugian bernilai jutaan ringgit setiap tahun apabila pekerjanya
tidak amanah dan mengambil peluang mencuri ubat mahal.
“Selepas
menggunakan poligraf ketika pemilihan pekerja dan pemeriksaan berkala yang
dibuat setiap tahun, jumlah kerugian semakin berkurangan dari setahun ke
tahun,” katanya.
Teknik poligraf turut digunakan beberapa agensi
siasatan seperti BPR dan Polis Diraja Malaysia (PDRM). Bagaimanapun, pakar
pemeriksa poligraf forensik masih boleh dihitung dengan jari.
“Sehingga kini saya sudah menjalankan lebih 1,500 ujian poligraf
kebanyakan untuk tujuan komersil,” katanya sambil menambah setiap ujian
poligraf dibuat dalam tempoh 25 minit membabitkan 10 hingga 13 soalan.
Bagaimanapun, hanya tiga soalan relevan dengan tujuan proses dibuat.
Menceritakan bagaimana alat pengesan pembohongan itu berfungsi,
Akhbar berkata, kadar ketetapan alat poligraf adalah 98 peratus dan dua
peratus ketidaktepatan yang terhasil adalah akibat kegagalan manusia dalam
mengendalikan alat.
“Oleh itu, sebagai pemeriksa poligraf
forensik, kita harus pandai membaca graf. Selain itu, kemahiran dalam tiga
disiplin iaitu dalam ilmu fisiologi membabitkan sistem saraf, respirasi
(pernafasan) dan pengaliran arus melalui kulit.
“Disiplin kedua
yang perlu dikuasai adalah ilmu psikologi kerana dalam mengesan
pembohongan, kita tidak boleh bergantung 100 peratus pada alat poligraf
kerana gerak badan juga memberi pelbagai maklumat. Yang terakhir, mesti
mahir mengendali alat,” katanya.
Akhbar berkata, teknik poligraf
akan mendapati orang yang diuji berbohong apabila ada peningkatan kadar
tekanan darah, degupan jantung dan perubahan volum darah.
“Secara
kasarnya, tanda orang berbohong apabila bibirnya menjadi kering dan tapak
tangannya lembap apabila berjabat tangan,” katanya.
FAKTA
NOMBOR
1917 - Ujian poligraf pertama dilakukan ketika Perang Dunia Pertama
1938 - Biro Siasatan Persekutuan (FBI) menggunakan poligraf
70 tahun - Tempoh penggunaan dan penyelidikan alat pengesan penipuan
poligraf
1786 - Sistem poligraf berkomputer mula digunakan
RM1,200 ke atas/ujian - Harga khidmat poligraf untuk pre recruitment
service
RM2,000 - RM3,000 - Harga khidmat penyiasat persendirian.
PROFIL: Akhbar Satar
Dilahirkan di Machang, Kelantan pada 31 Disember 1956
Isteri, Suratni Ngadi, 50, dan dikurniakan lima anak
Penyiasat penipuan bertauliah dan pemeriksa poligraf forensik
Lulusan American Institute of Polygraph Technology and Forensic
Psychophysiology di Detroit, Amerika Syarikat dan Master Criminal Justice,
University of Detroit
Bekas Pengarah Latihan BPR dan Pengarah BPR Perlis dan Negeri
Sembilan, Pengarah/Senior Fellow Penyelidikan Pusat Pengurusan Penipuan
Help Universiti, Presiden Persatuan Pemeriksa Penipuan Bertauliah
Malaysia, Presiden Persatuan Penyiasat Persendirian Bertauliah Malaysia
dan Pengarah Poligraph Science Academy.