|
BPR tukar pendekatan operasi awal pagi DUA anggota BPR membawa Toh Ah
Hong, 48, (tengah) dari Jalan Padang Tembak di Seremban untuk
di soal siasat kerana memiliki lesen gerenti lulus untuk
kereta dan motosikal yang diperolehnya dari Ipoh. - Gambar
MOHD. NOOR AMIN
SEREMBAN 29 Sept. - Badan Pencegah Rasuah (BPR) Negeri
Sembilan mengambil pendekatan baru dalam menjalankan Ops
Melayang dengan membuat pemeriksaan dari rumah ke rumah
pemegang 'lesen terbang' dan 'lesen gerenti lulus' pada waktu
awal pagi.
Mereka memulakan operasi itu pada pukul 5 pagi ini kerana
ia dianggap waktu yang sesuai apabila mereka yang terbabit
dipercayai berada di rumah dan masih tidur.
Ops Melayang yang dianggotai seramai 10 orang kakitangan
BPR itu diketuai oleh Ketua Perisikan BPR Negeri, Supritendan
Mohd. Zaki Mohd. Sungip meliputi beberapa taman perumahan di
bandar ini.
Pendekatan ini ternyata berhasil apabila selepas BPR
menyoal siasat seorang wanita, Toh Ah Hong, 48, pihaknya
berjaya mendapat maklumat bahawa seorang lelaki dipercayai
menjadi orang tengah di Negeri Sembilan dalam penjualan lesen
gerenti lulus yang diperoleh dari Jabatan Pengangkutan Jalan
(JPJ) Perak.
Pengarah BPR Negeri, Akhbar Satar berkata, lelaki berkenaan
berumur dalam lingkungan 40-an, beralamat di Seremban.
Menurut beliau, wanita berkenaan berjaya mendapat lesen
kereta dan motosikal dari JPJ Perak walau pun dia buta
huruf.
Katanya, wanita itu telah lulus ujian bertulis dan
praktikal yang diambil di JPJ Perak pada 17 Mei lalu dengan
bayaran RM600.
''Bagaimanapun, sehingga hari ini wanita berkenaan masih
menunggu lesen gerenti lulus yang dijanjikan oleh lelaki
berkenaan,'' katanya di sini hari ini.
Tambah Akhbar, BPR sudah mempunyai maklumat yang cukup
lengkap berhubung pembabitan lelaki itu dalam mendapatkan
lesen berkenaan di kalangan pembeli lesen di negeri ini.
''Kita hanya menunggu masa sahaja untuk menahan lelaki
tersebut bagi tindakan selanjutnya,'' ujar beliau.
Dalam operasi hari ini, sebanyak dua lesen terbang dirampas
daripada pemeriksaan yang dijalankan di 50 buah kediaman di
sekitar bandar ini.
Sementara itu, Mohd. Zaki ketika ditemui memberitahu,
operasi itu sehingga 15 Oktober itu akan turut memburu pemilik
lesen terbang dan lesen gerenti lulus di sekolah dan
pejabat-pejabat di seluruh daerah negeri ini.
''Pemilik lesen yang diambil secara tidak sah ini tidak
akan terlepas kerana BPR mempunyai cukup bukti dan maklumat,''
tegasnya.
Oleh: AINUL ASNIERA AHSAN
|