|
BPR tahan 3 pegawai JAINS minta layanan seks
SEREMBAN 12 Mei - Badan Pencegah Rasuah (BPR) Negeri
Sembilan hari ini menahan tiga anggota penguat kuasa Jabatan
Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JAINS) kerana disyaki
meminta layanan seks daripada seorang wanita yang ditangkap
khalwat di Mantin baru-baru ini.
Menurut sumber, ketiga-tiga anggota penguat kuasa JAINS
tersebut telah meminta wanita itu menghiburkan mereka di kelab
dangdut sebelum mendapatkan habuan seks.
Katanya, kekasih wanita itu pula diminta membayar RM1,500
untuk menyelesaikan kes khalwat mereka.
Beliau menjelaskan, ketiga-tiga anggota penguat kuasa JAINS
itu yang berusia dalam lingkungan 30-an dan berkhidmat di
sini, ditahan pada pukul 12.30 tengah hari.
Salah seorang daripada anggota penguat kuasa JAINS itu
merupakan penolong pegawai penguatkuasaan manakala seorang
lagi merupakan pembantu penguat kuasa dan seorang anggota
biasa.
Anggota penguat kuasa JAINS itu boleh didakwa di bawah
Seksyen 11(a) Akta Pencegahan Rasuah 1997 yang boleh dihukum
di bawah Seksyen 16 akta yang sama iaitu denda lima kali ganda
daripada jumlah rasuah diterima atau RM10,000 mana yang lebih
tinggi atau penjara mandatori 14 hari hingga 20 tahun.
Sementara itu, Pengarah BPR Negeri Sembilan, Akhbar Satar
ketika dihubungi mengesahkan mengenai penahanan ketiga-tiga
anggota penguat kuasa terbabit.
Ujarnya, penahanan mereka adalah hasil maklumat orang ramai
yang mula sedar tentang pentingnya melaporkan penyelewengan
pegawai-pegawai agama.
Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai yang pernah
didatangi anggota penguat kuasa Jabatan Hal Ehwal Agama Islam
yang meminta wang rasuah dan habuan seks agar dapat
menghubungi BPR di talian 06-7625446.
Oleh: HATA WAHARI
|