|
![]() |
|
Akhbar Satar (kiri) membuat ujian mesin poligraf di
Kuala Lumpur, baru-baru ini.
|
KUALA LUMPUR 29 Mei - Sejauh mana kejujuran dan keikhlasan seseorang wakil rakyat dan pentadbir kerajaan dalam memberikan khidmat kepada rakyat?
Sukar sebenarnya untuk menilainya. Namun, penggunaan teknologi moden memungkinkan ahli politik atau pegawai kanan kerajaan yang dipilih itu benar-benar 'bersih' dan layak untuk memikul tugas yang diamanahkan kepada mereka.
Pakar poligraf forensik, Akhbar Satar berkata, melalui kaedah ujian poligraf, seseorang itu boleh diketahui sama ada terbabit dalam sebarang bentuk penyelewengan atau salah guna kuasa semasa bertugas.
Beliau yang juga bekas Pengarah Badan Pencegah Rasuah (kini Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) Negeri Sembilan menjelaskan, sudah tiba masanya kaedah tersebut digunakan secara meluas supaya setiap pemilihan seseorang wakil rakyat atau penjawat awam itu tepat.
''Parti politik boleh guna kaedah ini bagi menapis calon wakil rakyat masing-masing supaya mereka ini benar-benar jujur untuk membantu rakyat selain pemeriksaan rekod jenayah dan status kewangan seperti yang dilaksanakan sekarang .
''Bagi pegawai kanan kerajaan pula, mereka boleh dipilih secara rawak dalam tempoh tertentu bagi membuktikan mereka tidak menyalahgunakan kuasa untuk kepentingan diri," katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.
Secara ringkasnya, ujian poligraf menggunakan alat pengesan khas yang disambungkan kepada beberapa bahagian anggota tubuh seperti jari tangan, dada dan lengan yang kemudiannya disambungkan kepada komputer.
Jika seseorang itu sedang berbohong, jari-jemari tangan akan mengeluarkan kuantiti air yang berbeza sementara kadar degupan jantung dan tekanan darah juga berubah.
Semua perubahan pada tubuh ini direkodkan, diukur dan diterjemahkan ke dalam bentuk graf matematik untuk memberikan keputusan.
Menurut Akhbar, penggunaan mesin poligraf atau mesin pengesan pembohongan ini mampu menghasilkan keputusan 98 peratus tepat dan kadang-kala 100 peratus jika dikendalikan oleh pemeriksa yang cekap.
Katanya, ia digunakan oleh kira-kira 70 negara sejak lebih 90 tahun lalu di mana Amerika Syarikat (AS), Israel dan Singapura merupakan pengguna terbesar khususnya untuk tujuan keselamatan.
''Di Jepun, hasil ujian poligraf diterima sepenuhnya di mahkamah.
''Di Taiwan pula, hakim akan menggunakannya supaya benar-benar berpuas hati dengan hukuman yang dijatuhkan ke atas seseorang pesalah," jelasnya.
Beliau yang berpengalaman menggunakan poligraf selama 12 tahun memberitahu, di Malaysia, ia digunakan oleh agensi-agensi kerajaan seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Kastam Diraja Malaysia (KDRM) selain syarikat-syarikat multinasional.
Tambahnya, adalah merugikan jika kaedah tersebut tidak dimanfaatkan sepenuhnya di negara ini memandangkan Malaysia merupakan pusat latihan poligraf di rantau Asia.
|
IKLAN@UTUSAN
|