|
Kenali petunjuk elak penipuan komersial
KUALA LUMPUR 20 Julai - Syarikat-syarikat tempatan perlu
mengenal pasti petunjuk-petunjuk yang boleh mendorong kepada
berlakunya penipuan komersial dan jenayah kewangan dalam
organisasi, kata Pengarah Urusan Akhbar and Associates, Akhbar
Satar.
Akhbar, seorang penyiasat, jurulatih dan perunding kes
penipuan, adalah salah seorang pembentang kertas kerja pada
Persidangan Penipuan dan Jenayah Kewangan 2005. Kertas
kerjanya bertajuk ``Menyiasat Penipuan: Bagaimana Mereka
Melakukannya?''
``Petunjuk-petunjuk seperti pekerja pulang lewat dari
pejabat, tidak mahu ditukarkan atau dipindahkan, dan tidak
mengambil cuti boleh menjadi faktor yang menyebabkan penipuan
dalam syarikat,'' katanya selepas persidangan itu di sini,
hari ini.
Beliau berkata, penyiasatan harus dilakukan mengikut kaedah
teratur bermula dengan mengetahui dari mana maklumat boleh
didapati, menyusun strategi penyiasatan, menganalisis
maklumat, mengumpul bukti, membuat keputusan muktamad dan
merancang langkah-langkah untuk mencegah penipuan.
``Kita perlu tahu di mana hendak men-dapatkan maklumat
seperti dari kawalan dalaman, pertanyaan, laporan audit,
pembekal serta pekerja dan menganalisis semua maklumat yang
boleh membawa kepada penyiasatan tentang penipuan dengan
mengenal pasti isu, modus operandi dan penjenayah.
``Syarikat-syarikat juga harus menyusun strategi
penyiasatan. Mereka perlu memberi tumpuan kepada isu atau
sasaran yang betul, bergantung kepada skop dan saiz
penyiasatan, menggunakan sepasukan atau seorang penyiasat yang
diketuai oleh sebuah unit penyiasatan dalam jabatan audit,
pakar-pakar IT, akauntan atau pegawai undang-undang,''
jelasnya.
Dengan mengumpul bukti dan menganalisisnya, kata Akhbar,
sebuah syarikat itu harus membuat keputusan untuk mencari
orang yang terlibat dalam penipuan itu sama ada beliau
bersalah atau tidak, dan berbincang dengan teliti mengikut
peraturan dan prosedur organisasi.
|