Berita Harian Online

Penyiasat penipuan persendirian

Oleh Siti Nur Almizan Aripin
snur@nstp.com.my

Bekas Pengarah BPR buka syarikat tawar khidmat penguji alat intipan, imbasan syarikat dan individu serta pemeriksa poligraf

MENJALANKAN perniagaan dalam bidang yang jarang dipelopori orang lain membuatkan penyiasat penipuan bertauliah dan pemeriksa poligraf forensik, Akhbar Satar, 51, menjadi rebutan pelbagai pihak termasuk wanita yang ingin mengetahui kegiatan ‘sulit’ suaminya.

Namun berpegang kepada prinsip mesti bersifat jujur, sementelah pernah memegang jawatan Pengarah Badan Pencegah Rasuah (BPR) Perlis dan Negeri Sembilan serta bekas Pengarah Latihan BPR, membuatkan Akhbar terpaksa menolak permintaan itu secara baik.

“Jika hendak mengaut keuntungan, mungkin saya sudah lakukannya tetapi sebagai pakar pemeriksa poligraf bertauliah, melalui pelakuan dan juga perbualan saja, saya sudah dapat membaca apa yang tersirat.

“Bagaimanapun, saya tidak suka menjadi orang tengah kerana ia boleh mengeruhkan lagi suasana hubungan suami isteri. Lagipun, kerja seperti itu tidak profesional,” kata lelaki kelahiran negeri Cik Siti Wan Kembang ini.

Memiliki firma penyiasatan sendiri, Akhbar & Associates yang terletak di Plaza Damas, Sri Hartamas, dekat sini membuktikan lelaki pertengahan usia ini bijak mencatur langkah dengan membuka perniagaan berlandaskan kepakaran yang dimiliki.

Selain khidmat menguji pembohongan, Akhbar & Associates juga menawarkan perkhidmatan penyiasat persendirian berdaftar, imbasan syarikat dan individu, siasatan latar belakang, khidmat penguji alat intipan (Bug Sweep Detection Service) dan bertindak sebagai perunding anti penipuan.

Untuk menjadi seorang pemeriksa poligraf bukan mudah, sebab itu sehingga kini hanya ada kira-kira 3,000 pemeriksa poligraf forensik bertauliah di seluruh dunia.

Akhbar berkata, di negara ini hanya ada dua pakar pemeriksa poligraf forensik yang menjadi ahli penuh American Polygraph Association (APA) manakala 10 yang lain sebagai ahli berdaftar. Akhbar adalah perintis bidang poligraf di negara ini dan mendapat latihan di American Institute of Polygraph Technology and Forensic Psychophysiology di Detroit, Amerika Syarikat.

“Untuk diiktiraf sebagai pakar poligraf bertauliah, seseorang perlu lulus ujian APA. Di seluruh dunia, hanya ada 20 sekolah yang menerima akreditasi dari APA.

“Setiap kursus mewajibkan pelajar mengikuti kelas teori selama lapan minggu manakala dua minggu lagi diperuntukkan untuk mempraktikkan ilmu yang diterima. Seperti sijil profesional yang lain, bayaran yang dikenakan untuk menyertai kelas ini agak tinggi iaitu RM17,000,” katanya.

Sebanyak 13 sekolah yang menawarkan sijil untuk bidang poligraf berada di Amerika Syarikat, Kanada (1), Israel (1), Mexico (1), Colombia (1), Slovia (1) dan Malaysia (1).

Paling membanggakan, Polygraph Science Academy - Akhbar & Associates milik Akhbar adalah satu-satunya sekolah poligraf ditubuhkan di rantau Asia dan mendapat akreditasi APA.

Akhbar berkata, menjadi pemeriksa poligraf forensik tidak mudah kerana seseorang itu mesti menjaga peribadi dan perilaku diri selain mempunyai kelayakan akademik sekurang-kurangnya diploma, pernah melakukan 200 ujian poligraf dan menjadi ahli APA.

Bercerita mengenai poligraf, Akhbar berkata, penggunaan poligraf yang sudah berusia lebih 70 tahun itu meluas sehingga ada negara yang menggunakannya dalam hampir semua kes penipuan misalnya Singapura dan Taiwan.

Katanya, kini kira-kira 80 negara menggunakan poligraf dan Singapura adalah antara negara teratas menggunakannya, diikuti Israel manakala Amerika Syarikat menjadi negara terawal yang menggunakan alat pengesan pembohongan itu.

Di Malaysia, teknik itu juga mula diguna pakai syarikat tertentu dan berkepentingan ketika membuat pengambilan pekerja baru (pre employment screening). Ia bertujuan untuk mengesan latar belakang individu selain mengelak berlaku kerugian jika pekerja yang diambil tidak amanah.

“Misalnya beberapa tahun lalu sebuah syarikat pengeluar ubatan berdepan kerugian bernilai jutaan ringgit setiap tahun apabila pekerjanya tidak amanah dan mengambil peluang mencuri ubat mahal.

“Selepas menggunakan poligraf ketika pemilihan pekerja dan pemeriksaan berkala yang dibuat setiap tahun, jumlah kerugian semakin berkurangan dari setahun ke tahun,” katanya.

Teknik poligraf turut digunakan beberapa agensi siasatan seperti BPR dan Polis Diraja Malaysia (PDRM). Bagaimanapun, pakar pemeriksa poligraf forensik masih boleh dihitung dengan jari.

“Sehingga kini saya sudah menjalankan lebih 1,500 ujian poligraf kebanyakan untuk tujuan komersil,” katanya sambil menambah setiap ujian poligraf dibuat dalam tempoh 25 minit membabitkan 10 hingga 13 soalan. Bagaimanapun, hanya tiga soalan relevan dengan tujuan proses dibuat.

Menceritakan bagaimana alat pengesan pembohongan itu berfungsi, Akhbar berkata, kadar ketetapan alat poligraf adalah 98 peratus dan dua peratus ketidaktepatan yang terhasil adalah akibat kegagalan manusia dalam mengendalikan alat.

“Oleh itu, sebagai pemeriksa poligraf forensik, kita harus pandai membaca graf. Selain itu, kemahiran dalam tiga disiplin iaitu dalam ilmu fisiologi membabitkan sistem saraf, respirasi (pernafasan) dan pengaliran arus melalui kulit.

“Disiplin kedua yang perlu dikuasai adalah ilmu psikologi kerana dalam mengesan pembohongan, kita tidak boleh bergantung 100 peratus pada alat poligraf kerana gerak badan juga memberi pelbagai maklumat. Yang terakhir, mesti mahir mengendali alat,” katanya.

Akhbar berkata, teknik poligraf akan mendapati orang yang diuji berbohong apabila ada peningkatan kadar tekanan darah, degupan jantung dan perubahan volum darah.

“Secara kasarnya, tanda orang berbohong apabila bibirnya menjadi kering dan tapak tangannya lembap apabila berjabat tangan,” katanya.

FAKTA NOMBOR

  • 1917 - Ujian poligraf pertama dilakukan ketika Perang Dunia Pertama

  • 1938 - Biro Siasatan Persekutuan (FBI) menggunakan poligraf

  • 70 tahun - Tempoh penggunaan dan penyelidikan alat pengesan penipuan poligraf

  • 1786 - Sistem poligraf berkomputer mula digunakan

  • RM1,200 ke atas/ujian - Harga khidmat poligraf untuk pre recruitment service

  • RM2,000 - RM3,000 - Harga khidmat penyiasat persendirian.

    PROFIL: Akhbar Satar

  • Dilahirkan di Machang, Kelantan pada 31 Disember 1956

  • Isteri, Suratni Ngadi, 50, dan dikurniakan lima anak

  • Penyiasat penipuan bertauliah dan pemeriksa poligraf forensik

  • Lulusan American Institute of Polygraph Technology and Forensic Psychophysiology di Detroit, Amerika Syarikat dan Master Criminal Justice, University of Detroit

  • Bekas Pengarah Latihan BPR dan Pengarah BPR Perlis dan Negeri Sembilan, Pengarah/Senior Fellow Penyelidikan Pusat Pengurusan Penipuan Help Universiti, Presiden Persatuan Pemeriksa Penipuan Bertauliah Malaysia, Presiden Persatuan Penyiasat Persendirian Bertauliah Malaysia dan Pengarah Poligraph Science Academy.